Isteri Tabah Menjaga Suami Sakit
KAMPUNG TANJUNG AGAS – Penyakit kronik yang dihidapi seorang bapa kepada tiga anak di sini menyebabkan isterinya terus cekal meneruskan kehidupan dan mengambil alih usaha mencari rezeki bagi menampung keperluan mereka sekeluarga.
Mohd Nor Taqwa Abdul Wahab, 32, yang menghidap penyakit radang paru-paru, hati mengecut serta kerosakan usus kini hanya mampu terlantar di rumah dan dijaga oleh isteri.
Isterinya, Nor Farah Dila Mohd Rosli, 30, perlu menjaga keperluan harian suaminya yang tidak mampu menguruskan diri akibat penyakit kronik yang dihidapi sejak setahun lalu.
“Keadaannya bertambah teruk sejak beberapa bulan lalu dan hanya mampu terlantar di rumah dan mengharap bantuan daripada saya dan ahli keluarga lain untuk makan, minum dan sebagainya.
“Sebelum suami jatuh sakit, dia bekerja sebagai penjual ikan dan pendapatannya sedikit sebanyak mampu menampung keperluan keluarga terutamanya anak yang bersekolah,” katanya yang kini bekerja sebagai peniaga kecil bagi menampung keluarga.
Nor Farah berkata, keperluan perubatan suami turut perlu disediakan ekoran keadaan kesihatannya yang semakin teruk dan memerlukan perhatian yang rapi bagi memastikan dia dapat terus bertahan.
“Tinggi harapan untuk melihat suami sembuh walaupun keadaan kesihatannya saban hari semakin teruk dan memerlukan penjagaan lebih rapi,” katanya.
Sementara itu, Kelab Peramah, Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) yang hadir menziarahi Mohd Nor Taqwa dan keluarganya turut menyampaikan sumbangan.
Setiausahanya, Khairul Anuar Mohd Khalyubi berkata, Kelab Peramah turut tampil membantu golongan memerlukan dengan kerjasama yang diperoleh daripada Pejabat Ahli Parlimen Pekan.
“Kelab Peramah berharap agar keluarga ini terus tabah menjalani ujian daripada ALLAH SWT dan bersama mendoakan keadaan Mohd Nor Taqwa kembali sihat satu hari nanti,” katanya.- Sinar Harian
Sila Kongsi Artikel Ini Dengan Kawan2 Anda,Berkongsi Itu Indah!!! Klik Butang Dibawah.
0 Komen La Bro!
Komen La Bro!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)