Spesifikasi Galaxy S4 | |
---|---|
Cip | Exynos 5 Octa 5410 |
Kamera Utama | 13-Megapixel |
Kamera Hadapan | 2-megapixel |
Storan Terbina | 16/32/64 GB (+ mikro-SD) |
Memori | 2 GB RAM |
Skrin | 5-inci HD Penuh |
Bateri | 2600 mAh |
Setelah Sony Malaysia dan HTC Malaysia memperkenalkan peranti Android utama untuk tahun 2013 ini, iaitu Xperia Z dan juga HTC One, kini pihak Samsung Malaysia juga turut hadir dengan peranti utama mereka untuk tahun 2013, iaitu Samsung Galaxy S4.
Samsung Galaxy S4 merupakan telefon pintar yang menjalankan sistem operasi Android 4.2 Jelly Bean. Namun, mungkin ramai yang tidak perasan akan perubahan pada sistem operasinya, memandangkan pihak Samsung seperti biasa menyertakan antaramuka TouchWiz pada peranti tersebut. Namun, salah satu perkara yang perlu dipuji oleh pihak Samsung adalah dimana mereka menyertakan pelbagai fungsi baru pada peranti tersebut, mendahului pelbagai peranti lain di pasaran.
Rekabentuk
Dari segi rekabentuk, Samsung Galaxy S4 tidak membawakan perbezaan yang jauh dengan peranti Galaxy S3 mereka sebelum ini. Galaxy S4, walaupun dikatakan ramai ia menggunakan bahan binaan berasaskan plastik, namun apabila ia dipegang, amat selesa ditangan, serta tidak begitu berat dan kelihatan janggal di atas tangan seperti beberapa peranti lain.
Paparan gambar pada peranti ini juga amat jelas, apatah lagi dengan semua sedia maklum kemampuan Samsung dalam membangunkan skrin mereka. Samsung Galaxy S4 membawakain skrin bersaiz bersaiz 5-inci (4.99-inci) dengan resolusi HD penuh.
Jikalau dibandingkan dengan peranti Samsung Galaxy S3 yang diperkenalkan sebelum ini, selain rekaan bezzel yang lebih nipis, ia juga turut membawakan beberapa perubahan, seperti kedudukan flash, dan juga kedudukan speaker pada bahagian kerangka belakang peranti berkenaan.
Samsung Galaxy S4 juga merupakan antara peranti yang masih membolehkan pengguna untuk membuka kerangka-belakang dan membuka bateri, serta menyediakan slot mikro-SD dan juga kad-SIM pada ia.
Fungsi Dan Aplikasi Tambahan
Berbanding kepada rekabentuk, Samsung kelihatan memberikan fokus yang lebih kepada bahagian aplikasi dan fungsi-fungsi yang disertakan pada Samsung Galaxy S4 ini.
AirView disertakan pada Galaxy S4, membolehkan pengguna untuk melihat sesuatu kandungan seperti pada Flipboard, emel, dan juga galleri tanpa perlu membuka sesuatu perkara, dan hanya menunjukkan jari ke atasnya untuk seketika. Bagi mereka yang menggunakan Samsung Galaxy Note 2 mungkin biasa dengan fungsi ini, tetapi menariknya pada Galaxy S4 ini tiada sebarang S-Pen diperlukan, tetapi ia berfungsi dengan hanya menggunakan jari sahaja.
AirGesture turut sama disertakan pada peranti ini, membolehkan pengguna untuk mengawal peranti tanpa perlu menyentuh peranti ini. Fungsi ini hanya disokong pada beberapa aplikasi seperti pelayar web dan juga bahagian galeri. Untuk memberikan idea penggunaannya, pengguna hanya perlu gerakan tangan sama ada ke kiri dan ke kanan ataupun dari atas ke bawah, serta sebaliknya.
SmartStay terus diberikan penambah-baikkan dalam mengesan mata pengguna, serta Samsung turut sama menyertakan sokongan yang dinamakan sebagai SmartPause yang mana secara automatik menghentikan sesuatu aplikasi (terutamanya video) apabila pengguna mengalihkan pandangan dan sebagainya.
S-Health turut disertakan untuk memudahkan pengguna untuk memantau aktiviti mereka, sekaligus memberikan idea untuk kehidupan yang lebih sihat. Selain untuk salah satu fungsi yang turut disertakan adalah sokongan S-Translator untuk membolehkan pengguna mengalih bahasa dari satu bahasa ke bahasa lain. Namun dukacitanya sokongan bahasa Malaysia tidak disertakan untuk aplikasi ini buat masa ini.
Sokongan kawalan dan carian suara, S-Voice turut sama disertakan yang boleh diakses dengan hanya tap dua kali butang fizikal pada bahagian hadapan peranti. Sokongan untuk kawalan ketika memandu turut disertakan melalui aplikasi ini, namun kami kurang pasti sama ada ia digunakan oleh pengguna ataupun sebaliknya, apatah lagi Google sendiri menyertakan sokongan Google Now pada Android versi terbaru.
Sesetengah aplikasi dan fungsi ini mungkin hanya tampak seperti gimik dan mungkin tidak akan digunakan dengan meluas oleh pengguna, memandangkan ia hanya sesuai untuk beberapa keadaan sahaja, dan mungkin agak janggal apabila dilakukan di tempat umum. Namun ia boleh dikatakan salah satu perkara yang perlu dipuji oleh Samsung untuk menyertakan pelbagai fungsi menarik pada peranti mereka, dan menjadikan mereka setapak kehadapan berbanding yang lain.
Samsung Galaxy S4 juga turut sama membawakan sokongan IR-Blaster pada bahagian atas peranti membolehkan pengguna mengawal televisyen dengan menggunakan telefon pintar mereka. Ia mungkin mesra dengan pelbagai televisyen keluaran Samsung, dan kami masih kurang pasti sama ada ia mesra dekoder Astro – sepertimana yang boleh dilakukan oleh HTC One.
Kamera
Samsung Galaxy S4 menyertakan sokongan kamera 13-megapixel pada bahagian belakang membolehkan pengguna untuk merakamkan gambar yang lebih jelas. Pada aplikasi kamera, Samsung kelihatan mengubah bentuk paparan mod, dimana kini ia kelihatan lebih kurang sama seperti yang terdapat di Galaxy Camera.
Disamping itu, salah satu fungsi yang menarik pada bahagian kamera adalah pengguna boleh mengaktifkan kamera pada bahagian belakang dan hadapan serta merakamkan gambar menggunakan kedua-dua kamera pada masa yang sama.
Harga Jualan
Adakah anda akan mendapatkannya?Di Malaysia, Samsung Galaxy S4 ditawarkan pada harga RM2199. Pengguna juga boleh mendapatkan ia melalui pakej khas daripada beberapa syarikat telekomunikasi, iaitu daripada Celcom, DiGi, Maxis dan juga UMobile. Setiap syarikat telekomunikasi menyediakan pelan dan pakej berbeza, dan bagi mereka yang tidak ingin terikat dengan sebarang kontrak, boleh mendapatkannya daripada pengedar rasmi Samsung.
Sila Kongsi Artikel Ini Dengan Kawan2 Anda,Berkongsi Itu Indah!!! Klik Butang Dibawah.